Thursday, October 28, 2010

Pandangan anda jika isteri menanggung nafkah keluarga apabila suami gagal menunaikan tanggungjawab ini kerana kesukaran mendapat kerja?

Sebagaimana sabda Nabi S.a.w....

كلكم راع وكلكم مسئول عن رعيته ، الإمام راع ومسئول عن رعيته والرجال راع فى أهله ومسئول عن رعيته والمرأة راعية فى مال زوجها ومسئولة عن رعيتها والخادم راع فى مال سيده ومسئول عن رعيته والرجل راع فى مال أبيه ومسئول عن رعيته وكلكم راع ومسئول عن رعيته.

Maksud:
Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan kamu akan dipertanggungjawabkan terhadap orang yang di bawah pimpinan kamu; seorang pemerintah adalah pemimpin dan akan dipertanggungjawabkan terhadap rakyatnya; seorang lelaki adalah pemimpin kepada anggota keluarganya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap anggota keluarganya; seorang wanita adalah pemimpin di rumah suaminya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap anak-anaknya dan pimpinannya; dan khadam adalah diamanahkan terhadap harta tuannya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang berada di bawah amanahnya.( Hadis riwayat al-Bukhari)
Hadis di atas jelas menerangkan kepada kita bahawa seorang suami perlu memikul amanah dan tanggungjawab yang berat bagi memastikan ahli keluarganya sentiasa mematuhi syariat yang telah digariskan oleh Allah SWT. Oleh itu, seorang suami harus melayani isterinya dengan baik dan adil kerana isteri adalah amanah dari Allah SWT, sebagaimana firmannya:
الذين ءامنوا قوا أنفسكم وأهليكم نارا وقودها الناس والحجارة يأيها
Maksudnya:
Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka yang bahan-bahan bakarnya ialah manusia dan batu(berhala).( Surah al-Tahrim: Ayat 6)
Berdasarkan potongan ayat alQuran di atas, jelas kepada kita bahawa tanggungjawab seorang suami adalah mendidik isterinya agar menjadi seorang isteri yang solehah dengan memberi didikan agama yang secukupnya terutama ilmu fardu ain dan tidak kurang juga ilmu fardu kifayah. Disamping itu, seorang suami juga harus menjadi contoh teladan yang baik buat isteri dan juga anak-anaknya. Ini berdasarkan firman nabi saw:

أكمل المؤمنين إيمانا أحسنكم خلقا وخياركم خياركم لنسائكم
Maksudnya:
Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah orang yang paling baik budi pekertinya; dan orang yang paling baik daripada kalangan kamu ialah orang yang melakukan kebaikan kepada isteri-isterinya. ( Hadis riwayat Ibnu Majah dan Ibnu Hibban)

Pendidikan agama sangat penting kepada para isteri kerana mereka bertindak sebagai tempat untuk suami mengadu masalah di kala ingin menyelesaikannya; contohnya Saidatina Khadijah yang telah menenangkan hati suami yang tercinta di mana Nabi saw didatangi Jibril as untuk menyampaikan wahyu pertama di Gua Hira’. Dan Saidatina Aisyah juga merupakan contoh seorang isteri solehah yang sanggup berkoraban apa saja demi menegakkan ajaran agama Allah SWT yang suci ini di muka bumi.
Selain itu, seorang suami juga bertanggungjawab terhadap nafkah untuk perbelanjaan isterinya dengan memberikan makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal, dan keperluan-keperluan asas yang lain. Firman Allah SWT:
لينفق ذوسعة من سعته
Maksudnya:
Hendaklah orang yang mempunyai kemampuan membelanjakan menurut kemampuannya.
(Surah at-Talak: Ayat 7)
Dalam sebuah hadis , ada seorang sahabat bertanyakan Rasulullah tentang tanggungjawab suami kepada isterinya. Lalu Nabi saw bersabda:
Maksudnya:
Memberi makan kepadanya sebagaimana kamu makan, memberinya pakaian sebagaimana kamu pakai, jangan pula kamu memukul mukanya dan jangan memburuk-burukkannya serta jangan menghalaunya dari rumah kamu.( Hadis riwayat Abu Daud ).



HUKUM-HUKUM BERKAITAN PEMBERIAN NAFKAH

1)HARUS
Setiap pasangan suami isteri mempunyai tanggungjawab masing-masing yang perlu dipikul dan digalas demi menjaga kemaslahatan rumahtangga mereka. Beban dan tanggungjawab tersebut perlu dipikul bersama-sama untuk merasai kemanisan rumahtangga yang dibina. Suami isteri perlu saling bertolak ansur dalam segenap hal seperti hal kewangan , pengurusan anak-anak dan sebagainya. Dewasa ini, seorang isteri juga memikul tanggungjawab untuk meringankan bebanan kewangan dalam sesebuah keluarga bagi menjamin kehidupan yang lebih sempurna. Pada zaman moden ini , masyarakat telah mula menerima keadaan isteri yang juga keluar mencari nafkah tidak seperti zaman dahulu yang tidak dapat menerima keadaan seperti itu. Seperti yang kita semua tahu, kos sara hidup pada masa kini semakin tinggi sehingga menyebabkan suami memerlukan bantuan isteri dalam masalah kewangan dalam institusi kekeluargaan.namun, adakalanya isteri lebih berpendidikan tinggi dan berkelayakan untuk mendapatkan pekerjaan berbanding suami. Dalam keadaan negara yang merosot ekonominya, kemungkinan suami sukar mendapatkan pekerjaan dengan kelayakan yang tidak seberapa. Hal ini berbeza dengan keadaan isteri yang lebih berkaliber. Sudah tentunya isteri yang terlebih dahulu mendapatkan pekerjaan.

Islam tidak melarang wanita daripada keluar bekerja, apatah lagi sekiranya suaminya amat memerlukan sokongan kewangan dari isteri dalam menguruskan kehidupan rumahtangga .Kehidupan seperti ini menjadikan hukum harus kepada isteri yang keluar bekerja. Terjadinya hukum harus apabila isteri redha untuk bekerja serta ikhlas memberikan bantuan kepada suami dalam menguruskan hal ehwal kewangan rumahtangga . Seseorang isteri tidak akan sanggup melihat si suami dan ahli keluarganya berada dalam keadaan kesempitan hidup.Oleh yang demikian , si isteri redha untuk keluar bekerja disamping ia mempunyai kelebihan dan kelayakan dalam melakukan sesuatu pekerjaan .Namun demikian , pekerjaan yang dilakukan haruslah sesuatu pekerjaan yang halal dan tidak menyalahi hukum-hukum syarak.


Selain itu, pekerjaan itu juga mestilah bukan pekerjaan yang mendatangkan aib kepada isteri tersebut. Adalah menjadi suatu kewajipan kepada seorang isteri menjaga nama baiknya, suami dan keluarga ketika berada diluar rumah.Hal demikian adalah bagi mengelak pandangan serong daripada masyarakat sekeliling apabila melihat isteri yang keluar mencari nafkah untuk keluarga. Walaupun masyarakat sekarang lebih berfikiran terbuka , namun seandainya isteri yang bekerja melakukan pekerjaan yang tidak baik semasa berada di luar rumah, masyarakat sudah tentu tidak dapat menerimanya .

Bukan itu sahaja, seorang isteri yang juga merupakan seorang wanita mestilah pandai menjaga keselamatan dirinya ketika keluar untuk bekerja. Hukum harus jatuh kepada isteri yang keluar bekerja dan meninggalkan rumah lalu si isteri yakin terhadap dirinya sendiri boleh menjaga keselamatan dengan baik.Sekiranya seseorang isteri itu tidak yakin dan mampu untuk menjaga keselamatannya , maka tidak wajar si isteri untuk keluar daripada rumah untuk mencari nafkah walaupun mendapat keizinan suami untuk keluar.Hal ini kerana, bagi mengelakkan daripada berlakunya perkara-perkara bahaya yang tidak diingini.

Ini tidak menjadi masalah atau kesalahan apabila isteri yang keluar bekerja bagi mencari nafkah untuk menampung sesebuah keluarga asalkan hal ehwal yang berkaitan rumahtangganya terurus dan terkawal dengan tertib seperti hal pengurusan anak-anak dari segi aspek pentarbiahan dan persekolahan mereka. Terdapat sesetengah keadaan yang melibatkan si suami dalam pengurusan hal ehwal rumahtangga .Namun kerja-kerja rumah yang dilakukan oleh seorang suami, tidak harus dilihat sebagai salah satu pekerjaan yang boleh mengurangkan sifat kelakian suami bahkan mereka lebih kelihatan bertanggungjawab jikalaunya mengambil berat akan hal ehwal rumahtangga dan anak-anak.Walaubagaimanapun, isteri tidak boleh menyerahkan tanggungjawab tersebut secara sepenuhnya kepada pihak si suami. Hal ini karana, sudah menjadi tanggungjawab suami isteri untuk memastikan sesebuah keluarga itu sentiasa berada dalam keadaan harmoni dan sejahtera.


Berdasarkan dalil Al-Quran bagi menyokong hukum tersebut :

" ولا تتمنوا ما فضل الله به بعضكم على بعض للرجال نصيب مما اكتسبوا و للنساء نصيب مما اكتسبن وسئلوا الله من فضله إن الله كان بكل شئ عليما "

Maksudnya : Dan janganlah kamu iri hati terhadap kurnia yang telah telah dilebihkan Allah kepada sebahagian kamu atas sebahagian yang lain. Bagi lelaki ada bahagian dari apa yang mereka kerjakan /usahakan , dan bagi perempuan pun ada bahagian dari apa yang mereka usahakan .Mohonlah kepada Allah sebahagian dari kurniaan-Nya. Sesungguhnya Allah maha mengetahui segala sesuatu. ( Surah An-Nisa’ : 32 ).


Al-Baihaki berkata: Dalam ayat-ayat sebelum ini Allah melarang kita bunuh-membunuh, kemudian Allah SWT melarang kita makan dan melalui jalan yang salah. Selepas itu Allah SWT juga melarang kita agar tidak melakukan perbuatan yang jahat. Manakala dalam ayat ini Allah melarang kita dari berangan-angan kerana angan-angan itu merupakan kesalahan hati.

Dalam ayat ini, lafaz “La tatamannau” asal dari perkataan Tamaniy iaitu berangan-angan memikirkan tentang perihal orang lain seperti kekayaan dan pangkat yang mereka perolehi. Disebabkan angan-angan inilah timbulnya perasaan dengki sebagaiman Ibn Abbas dalam tafsirannya menyebut Tamaniy (angan-angan) bermaksud hasad iaitu dengki. Sebagaimana kata-kata beliau ketika menafsirkan ayat ini: “Janganlah kamu berkata: Alangkah elok sekiranya aku diberi harta yang banyak, nikmat yang banyak dan isteri yang cantik sebagaimana si fulan itu”.

Manakala Ibn Atsiir pula berpendapat bahawa angan-angan ialah keinginan untuk mendapatkan sesuatu benda dan ia merupakan satu keluhan jiwa.

Kemudian perkataan seterusnya pula menegaskan yang bermaksud: “Bagi lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan”. Ia bererti Allah telah menyediakan rezeki-rezeki bagi kaum lelaki dan kadar rezeki-rezeki itu bergantung kepada usaha yang mereka lakukan. Begitu juga dengan perempuan. Secara keseluruhannya, Allah telah menentukan rezeki kepada setiap hambanya yang berusaha untuk mendapatkannya.

Ayat seterusnya, “Dan mohonkanlah kepada Allah sebahagian dari kurniaNya” yang bermaksud pohonlah doa kepada Allah agar diberi kekuatan dan pertolongan sehingga usaha itu Berjaya (tiada waktu lagi untuk berangan-angan).

Dan diakhir ayat ini, Allah SWT berfirman yang bermaksud : “Sesungguhnya Allah atas tiap-tiap sesuatu adalah Maha Tahu”. Dalam ayat ini ada disebut perkataan ‘Alim iaitu salah satu dari nama Allah. Ini kerana hanya Allah yang memancarkan sinar ilmuNya dengan ilham kepada manusia tentang sesuatu yang mereka tidak tahu sebelum ini.

Berdasarkan hadis dari Zainab, isteri Abdullah r.a , dia berkata: Tolong tanyakan kepada Nabi Muhammad s.a.w , Apakah sah jika aku memberikan nafkah kepada suamiku dan anak-anak yatim yang ada dalam tanggunganku? Tetapi jangan beritahu beliau tentang siapa kami!” lantas Bilal masuk untuk menyampaikan pertanyaan tersebut kepada Nabi Muhammad s.a.w , Nabi s.a.w bertanya “Siapa mereka itu?” Bilal menjawab: "Zainab.”. Nabi Muhammad s.a.w bertanya “Zainab yang mana?” Bilal menjawab : “isterinya Abdullah r.a.”lalu Nabi Muhammad s.a.w berkata : “ya, sah.”. Dia mendapat dua pahala , iaitu pahala kerabat dan pahala sedekah. (HR Bukhari dan Muslim).
Isteri yang bekerja dapat mendatangkan pelbagai faedah dan kebaikan terhadap diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara. Antara kebaikan yang diperoleh isteri atau wanita yang bekerja adalah mereka dapat mengukuhkan kewangan diri sendiri. Oleh itu, si isteri tidak perlu meminta-minta wang daripada suaminya bagi memenuhi kehendaknya. Selain itu, kebaikan yang diperolehi daripada isteri yang bekerja mengenai hal ehwal keluarga ialah dapat meringankan bebanan suami dalam menjana pendapatan untuk menyara keluarga. Dalam hal ini, hal ehwal keluarga akan lebih stabil walaupun suaminya tidak bekerja disebabkan kesukaran mndapatkan pekerjaan.Isteri yang bekerja juga dapat menyumbangkan tenaga mereka dari sudut fizikal dan pemikiran terhadap masyarakat. Sebagai contoh, sesuatu pekerjaan yang tidak boleh dihadiri oleh golongan lelaki memberi peluang kepada gologan wanita untuk menunjukkan kebolehan mereka. Tuntutan kerja ini juga adalah untuk memperolehi rezeki, maka hukumnya adalah harus di sisi syarak. Selain itu juga, isteri yang bekerja secara tidak langsung dapat menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara. Hal ini boleh membantu mengukuhkan lagi kestabilan ekonomi.

Wanita perlu memikirkan kembali dan meletakkan keutamaan selaras tuntutan fitrah dan kedudukan mereka dalam Islam tanpa mengorbankan peranan sebagai wanita, isteri dan ibu. Peranan isteri sebagai wanita yang bekerjaya memerlukan keseimbangan dalam melaksanakan tanggungjawab. Pengurusan rumahtangga yang bijak, berkesan dan cekap memerlukan wanita untuk lebih kreatif dan inovatif dalam menangani semua masalah dan cabaran. Sifat wanita yang dijadikan Allah penuh dengan kekuatan dalaman yang boleh dizahirkan dengan mendekatkan diri kepada-Nya, dengan penuh ketaqwaan dan memohon kekuatan dari-Nya dalam menghadapi segala cabaran dan halangan terutama dalam era yang serba mencabar ini. Walaupun zaman telah berlalu, peranan wanita seperti Saidatina Khadijah bt Khuwailid, Saidatina Aisyah dan ramai lagi ummul mukminin serta sahabiah perlu diteliti kisah hidupnya untuk mencungkil kekuatan yang boleh dicontohi sebagai bekalan dalam menghadapi dunia yang mencabar peranan muslimah hari ini.
Islam telah menetapkan bagi isteri yang bekerja di luar rumah agar tidak bercampur gaul dengan bebas dengan lelaki yang bukan muhrimnya serta menjaga batasan aurat ketika melaksanakan tugasannya. Di samping itu, mereka juga tidak boleh menonjolkan perhiasan diri sehingga menarik perhatian lelaki yang bukan muhrim. Ini adalah langkah-langkah untuk mengelakkan daripada berlakunya sebarang fitnah dalam kalangan masyarakat.

2)HARAM
Hukum lain yang boleh dikaitkan dalam hal ini adalah hukum haram. Hal ini terjadi apabila seseorang isteri tidak meredhai keadaannya yang terpaksa bekerja bagi menampung perbelanjaan keluarga. Seorang isteri mungkin merasakan satu bebanan yang berat kerana terpaksa menguruskan rumahtangga di samping bekerja di luar rumah. Ini kerana tanggungjawab sebagai seorang isteri sememangnya berat untuk dipikul apatah lagi setelah mempunyai ramai anak. Hal ehwal anak-anak dan suami semestinya menjadi tanggungjawab utama seorang isteri sebelum melakukan tugasan lain. Hal ini demikian kerana rumah adalah tempat didikan yang pertama sebelum memasuki alam memasuki alam persekolahan. Telah menjadi fitrah bagi kaum wanita memiliki sifat keibuan dan pengasih terhadap anak-anak. Ini ditunjukkan pada saat awal kehamilan lagi di mana Allah telah menanam perasaan kasih dan sayang kepada seorang ibu meskipun anak itu masih berbentuk janin lagi.
Tanggungjawab mencari nafkah adalah tanggungjawab seorang suami yang wajib ke atasnya menyediakan segala keperluan isteri dan anak-anak di dalam rumahtangga. Seorang suami mestilah berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan keluarganya hidup dalam keadaan yang selesa. Allah s.w.t mengurniakan rezeki kepada mereka yang berusaha dan tidak pernah putus asa. Oleh yang demikian, seorang suami yang penuh dengan sikap prihatin dan tanggungjawab akan mencari nafkah untuk tanggungannya. Allah sememangnya memberi kudrat kepada kaum lelaki dalam bentuk kekuatan fizikal dan ketahanan mental agar mampu bekerja keras untuk mencari nafkah, memberi perlindungan dan mempertahankan maruah hidupnya. Manakala Allah mengkudratkan kepada wanita untuk hamil, melahir dan menyusukan anak, memelihara dan mendidik anak-anaknya serta rumahtangganya. Ini kerana sesungguhnya beban dalam melaksanakan urusan rumahtangga merupakan suatu tugas yang rumit dan amat meletihkan. Adalah tidak adil sekiranya isteri dibebani dengan tugas dua kali ganda iaitu tugas di rumah dan di tempat kerja. Seseorang isteri tidak boleh melakukan dua kerja dalam satu masa, jika tugas yang dilakukan di tempat kerja sempurna maka tugas di rumah akan terbengkalai. Oleh sebab itu, seseorang suami tidak boleh bermalas-malasan sambil menantikan bantuan daripada isteri. Mereka wajib bekerja apa sahaja yang sesuai menurut kemampuannya asalkan pekerjaan tersebut halal.

الرجال قومون على النساء بما فضل الله بعضكم على بعض وبما انفقوا من اموالكم فالصلحت قنتت حفظت للغيب بما حفظ الله والتى تخافون نشوزهن فعظوهن واهجروهن فى المضاجع واضربوهن فان اطعنكم فلا تبغوا عليهن سبيلا ان الله كان عليا كبيرا
Maksudnya: Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh karena Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan karena mereka (laki-laki) telah menafkahkan sebagian dari harta mereka. Sebab itu maka wanita yang saleh, ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada, oleh karena Allah telah memelihara (mereka). Wanita-wanita yang kamu khawatirkan nusyuznya, maka nasehatilah mereka dan pisahkanlah mereka di tempat tidur mereka, dan pukullah mereka. Kemudian jika mereka mentaatimu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkannya. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar. (Surah An-Nisa’ : ayat 34).

Pandangan mengenai peranan ibu bekerja di luar rumah tersebut kini sudah menular ke seluruh negara-negara Islam, dan ia memberi impak negatif. Mana yang lebih penting, masa depan anak yang baik, kehidupan keluarga sakinah dan juga bangsa yang kuat atau membiarkan kaum ibu sibuk kerja di luar rumah dengan mengabaikan masa depan anak, kehidupan keluarga menjadi porak-peranda serta masa depan bangsa dan agama Islam juga hancur? Perlu kita menghayati ungkapan penyair Islam:
“Seorang ibu ibarat sekolah, apabila kamu siapkan diri dengan baik bererti kamu menyiapkan satu bangsa yang harum namanya”. Islam tidak menolak seorang ibu bekerja, tetapi hendaklah dengan mempertimbangkan fitrahnya sebagai ibu yang mempunyai tugas dan tanggung jawab sebagai pemimpin dan membantu suami dalam menjalankan kehidupan rumah tangga serta menjaga kehormatannya saat si suami tidak di sisinya.

Rasulullah SAW bersabda : “Seorang lelaki adalah pemimpin keluarganya, dan ia akan dimintai pertanggungjawabannya terhadap mereka. Seorang wanita adalah pemimpin bagi rumah suami dan bagi anak-anaknya, dan ia akan dimintai pertanggungjawabannya terhadap yang dipimpinnya.” (HR. Bukhari, Muslim).

Islam mengajarkan bahawa seorang ibu yang berkualiti adalah yang telah mempersiapkan dirinya sebelum melahirkan zuriatnya. Menurut agama Islam, kualiti seseorang ibu dilihat dari ketaqwaan dan keimanannya kepada Allah SWT. Ia adalah sebahagian dari etika atau akhlak manusia kepada Khaliqnya. Pendidikan mengenai akhlak inilah yang diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada umatnya (terdapat di dalam Al Qur’an dan al-hadis) dan selanjutnya setiap penganut agama Islam berkewajiban pula mengajarkannya, terutama sekali kepada keluarganya, sesuai dengan sabda Nabi SAW:
“Di antara hak anak terhadap ayahnya adalah (agar si ayah) mengajarkan akhlak yang baik dan memberinya nama yang baik.” (HR. Ahmad dan At- Tirmidzi).

والوالدت يرضعن اولادهن حولين كاملين لمن اراد ان ينم الرضاعة وعلى المولود له رزقهن وكسوتهن بالمعروف لا تكلف نفس الا وسعها لا تضار والدة بولدها ولامولود له بوالده وعلى الوارث مثل ذلك فان ارادا فصالا عن تراض منهما وتشاور فلا جناح عليهما وان اردتم ان تسترضعوا اولادكم فلا جناح عليكم اذا سلمتم ما اتيتم بالمعروف واتقوا الله واعلموا ان الله بما تعملون بصير
Maksudnya: Para ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun penuh, yaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan. Dan kewajiban ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara ma'ruf. Seseorang tidak dibebani melainkan menurut kadar kesanggupannya. Janganlah seorang ibu menderita kesengsaraan karena anaknya dan seorang ayah karena anaknya, dan warispun berkewajiban demikian. Apabila keduanya ingin menyapih (sebelum dua tahun) dengan kerelaan keduanya dan permusyawaratan, maka tidak ada dosa atas keduanya. Dan jika kamu ingin anakmu disusukan oleh orang lain, maka tidak ada dosa bagimu apabila kamu memberikan pembayaran menurut yang patut. Bertakwalah kamu kepada Allah dan ketahuilah bahwa Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan. (Surah Al-Baqarah : ayat 233).

Dari Jabir Bin Abdullah, dia berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Kalian wajib memberi mereka makan dan pakaian menurut yang patut…..” (HR Muslim).

Apabila seorang suami mengabaikan tanggungjawab untuk mencari nafkah, maka seorang isteri berhak menuntut cerai daripada suaminya itu. Hal ini kerana seseorang isteri mempunyai hak untuk menentukan masa depannya samada ingin bahagia atau sebaliknya. Seorang isteri itu berhak menuntut cerai apabila beliau merasakan dirinya terabai dari segi penyediaan nafkah zahir dan batin.

No comments:

Post a Comment